Wednesday, July 24, 2013

Halal Yang Dicari

Pondok di Hujung Kampung

Di waktu pagi yang hening kedengaran alunan merdu bacaan Al-Qur’an seorang ibu muda yang begitu khusyuk membaca kalamullah. Bacaan itu datang dari sebuah pondok kecil di hujung kampung.
Bacaan diteruskan sehingga ayat yang terakhir surah Maryam.

Alhamdulillah.” Lafaz agung yang keluar dari mulut Khadijah, sambil mengusap lembut perutnya yang sudah berusia 37 minggu.

“Semoga menjadi anak yang soleh anak ku.” Bisik hatinya lagi.

Selepas Subuh lagi suaminya, Ahmad, telah keluar ke laut untuk mencari rezeki. Allah menguji dia dan suami dengan kesusahan. Namun, tidak sedikit pun ayat rungutan yang keluar dari mulut pasangan suami isteri itu.

“Allah sayangkan kita, itu sebabnya Allah uji dengan kesusahan.” Ayat yang sering diucapkan oleh Ahmad sebagai pemotivasi buat dirinya dan isteri tercinta.

Setelah itu Khadijah bangun dari sejadahnya.Sejadah hijau hitam milik dia dan suami dilipatnya. Senaskah Al-Qur’an berwarna hijau muda diletakkannya di atas almari usang di hujung bilik. Al-Qur’an itu amat bermakna buatnya. Bukti cinta suci kerana Allah, Ahamd menikahnya bermaharkan Al-Qur’an itu.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang saling mencintai, kamar-kamarnya di Syurga nanti terlihat seperti bintang yang muncul dari Timur atau dari Barat yang berpijar.' Lalu ada yang bertanya,' Siapakah mereka itu?' Baginda menjawab,'Mereka itu adalah orang-orang yang mencintai kerana Allah."
(Riwayat Ahmad)

Begitu hebatnya mencintai kerana Allah swt. Khadijah tersenyum mengingatkan hadis yang sering dibacanya buat suami tercinta.

Pagi itu Khadijah mengemas rumah seperti biasa. Menjalankan tugas sebagai suri rumah sepenuh masa. Baginya Ahmad telah berhempas-pulas mencari rezeki untuknya, maka tugas mengemas rumah itu pula bagiaannya.

Lantai rumah yang dibuat dari papan disapu dengan rapi. Setiap langkahnya diisinya dengan zikirullah.

“Setiap wanita yang menyapu lantai sambil berzikir pahalanya sama seperti menyapu lantai di Baitullah.” Potongan ayat dari Buku Riwayat Bidadari Syurga, karangan Munif Ahmad sering terngiang dalam ingatannya.

Tugasnya di rumah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Namun, ia juga tidak lupa untuk sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan suaminya yang keluar mencari rezeki untuknya.


Di Laut

Sesekali, Ahmad teringat akan isterinya di rumah. Kandungan Khadijah yang telah mencecah 8 bulan lebih membuatkan suaminya risau jika apa-apa yang berlaku keatas isterinya. Doa dan tawakal kepada Allah dijadikan penawar kebimbangannya.

Allah swt berfirman yang bermaksud:
Barang siapa yang berserah diri (tawakal) kepada Allah, nescaya Dia akan memenuhi keperluannya.”
(At-Thalaq:3)

Ayat ini sering menjadi pegangngannya.
Seperti hari-hari yang lain, Ahmad akan berada di laut dari pagi hingga ke petang. Dia begitu bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal untuk menyara diri dan isteri tercinta serta anak yang bakal dilahirkan itu.


Beberapa Tahun Kemudian

Khadijah dan Ahmad telah mendapat lima orang anak. Semuanya dididik dengan penuh tanggungjawab. Ilmu agama adalah perkara penting yang disemai dalam diri anak-anak mereka sejak dari kecil lagi.
Jam berwarna hitam di dinding rumah itu menunjukkan pukul 17:10.

“Ummi, adik nak main dekat luar, boleh?”, Tanya Fatimah, anak bongsunya yang berusia 5 tahun, sambil tersenyum manja kepada ibunya. Wajah anak kecil yang mirip ayahnya itu membuatkan tidak jemu mata memandang. Comel.

“Boleh, tapi sebelum Maghrib Fatimah kena naik dah tau, mandi. Boleh?.” Balas Khadijah sambil tersenyum.

“Ok Ummi!!!Terima Kasih Ummi. Saaaaaaayang Ummi!.” Balas si kecil dengan nada yang girang.

Talhah anak keempatnya yang berusia 7 tahun turut menemani Fatimah bermain di luar.

Aathif  begitu khusyuk membaca buku di beranda rumah. Buku Biologi Tingkatan 5 menjadi habuannya pada hari itu. Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah semakin hampir, mendapat keputusan yang cemerlang menjadi azamnya. Menjadi seorang doktor lulusan Universiti Al-Azhar yang  dicita-citakannya. Sebagai abang sulung, dia bertanggungjawab menjadi contoh kepada adik-adiknya.

Berimamkan Aathif, mereka menunaikan solat Maghrib secara berjema’ah. Bagi Ahmad, membiasakan anak lelakinya menjadi imam di rumah adalah salah satu pendidikan informal  buat anak-anak. Setelah usai solat, Khadijah memainkan peranan sebagai murabbi di rumah. Dia turut dibantu oleh suaminya. Walaupun Ahmad begitu sibuk mencari rezeki di siang hari, dia tidak mengabaikan tanggungjawabnya membantu isteri mendidik anak-anak di rumah. Begitu hebat peribadinya sebagai seorang suami dan ayah.
Khadijah begitu tekun mengajar Fatimah membaca Iqra’. Iqra’ 6 dibaca Fatimah dengan begitu lancar. Sementara menunggu turn ditasmik oleh ibunya, Adawiyah mengisi masa membantu mengajar adiknya Talhah membaca Al-Qur’an. Surah Ali-Imran dibaca dengan lancar. Diusia seawal 12 tahun lagi Adawiyah telah mula menghafaz Al-Qur’an, begitu juga dengan abangnya Aathif dan adiknya Abbasy. Abbasy baru sahaja mula menghafaz Al-Qur’an, perhatian yang lebih diberi oleh Ahmad kepadanya agar permulaan yang baik buatnya dalam arena itu.Ahmad dan Khadijah begitu menitik beratkan soal ilmu Al-Qur’an kepada anak-anak mereka.  Sejak dari pandai bercakap lagi, pasangan itu telah mengajar anak-anak mereka  untuk membaca alif ba ta. Maka tidak hairanlah anak-anak mereka begitu fasih membaca Al-Qur’an di seawal usia 5 tahun.

Nabi saw bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya, Allah itu mempunyai keluarga daripada manusia. Ada yan bertanya, ‘siapa mereka itu wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab,’ Ahli al-Qur’an itulah keluarga Allah dan orang-orang khususnya.
(Riwayat Imam Ahmad)

Dalam sebuah hadis juga Baginda saw bersabda, mafhumnya:
Orang-orang yang mulia daripada umatku ialah para penghafaz al-Qur’an dan ahli solat malam. Dan ibadah ummatku yang paling utama ialah membaca al-Qur’an.”

Dalil-dalil hadis itu menunjukan betapa pentingnya ilmu al-Qur’an dalam kehidupan manusia.

Malam itu berlalu dengan indahnya. Sebuah keluarga yang menjadikan Al-Qur’an sebagai asas penting dalam kehidupan begitu tekun menghafaz dan mempelajari Kalamullah.


Diuji

Pada pagi itu Ahmad keluar ke laut seperti selalu. Permulaan harinya dimulai dengan niat untuk mencari rezeki yang halal buat keluarganya bagi mencapai Mardhatillah.

Lahab yang dari tadi memerhati kehadiran Ahmad itu terus menyapanya yang begitu tangkas naik keatas bot berwarna hijau hitam itu.

“Ahmad!!!.” Teriak Lahab. Ahmad membalasnya dengan senyuman.

Hari itu mereka merancang untuk menangkap ikan jauh dari kawasan biasa. Laut Cina Selatan direntasi dengan doa kepada Allah agar mereka diberi pelindungan dari sebarang yang tidak diingini.

Alhamdulillah.” Lafaz tahmid Ahmad ucapkan. Mereka telah sampai di tempat yang dituju. Luas terbentang lautan biru dihadapan mereka. Seperti tiada penghujungnya. Sungguh indah alam ciptaan Allah. Mereka kagum melihatnya.

Ahmad memulakan kerjanya. Pukat yang dibawa dipasang dengan rapi, sambil berdoa kepada Allah agar dia mendapat rezeki lebih dan halal pada hari itu.

Tidak dinafikan pendapatannya sebagai seorang nelayan amat sukar untuk membelanjai persekolahan 5 orang anak-anaknya itu. Namun, berbekalkan keyakinan dan doa kepada Allah, dia tidak berputus asa dengan rahmat Allah. Sumber yang halal bagi keluarganya sangat  dititikberatkannya.
Lahab yang dari tadi memerhatikan Ahmad menangkap ikan, menegurnya.

“Mad, kau tak rasa susah ke? Dengan pendapatan sedikit ni kau kena belanja anak-anak kau sekolah. Kau tak nak cari pendapatan lebih?”.

Alhamdulillah. Aku bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan pada saya ini.” Balasnya sambil tersenyum. Pukat it uterus dipasangnya.

“Sumber lain?Maksud kau?.”, Balas Ahmad lagi.

“Aku nak bawa kau kat satu tempat ni. Banyak ikan.” Lahab memberitahunya.

“Dekat mana? Setahu aku ni lah tempat yang banyak ikan. Tengok tu, besar-besar ikannya.”, katanya sambil menunjukkan bayangan ikan besar di permukaan air.

“Kau tahu kawasan dekat hujung tempat yang kita selalu tangkap ikan itu? Kolam Pak Haji Dollah.” Lahab rancak menerangkan Ahmad tentang kolam ikan milik Hj. Dollah. Kolam itu mempunyai banyak ikan, pekerja Hj. Dollah yang ditugaskan untuk menjaga dan memasarkan ikan-ikan di situ.
Lahab bercadang untuk mengajak Ahmad mengambil ikan di kolam itu secara illegal.

“Kita ambil time malam, tak da sapa yang tahu.”Tambahnya lagi.

Astaghfirullah Hab. Itu namanya mencuri. Kita ni nak bagi makan anak bini dekat rumah. Tak kan nak bagi sumber yang haram dekat mereka. Benda tu akan bagi kesan jangka panjang kepada anak cucu kita nanti. Hidup tak berkat sekiranya terselit sumber yang tidak halal dalam kehidupan kita. Tegahan mencuri juga sudah cukup jelas di dalam Al-Qur’an. Saya rela mendapat rezeki yang sedikit tetapi dari sumber yang halal daripada mendapat harta yang banyak dari sumber yang haram.” Balas Ahmad tegas. Bagi Ahmad mencari rezeki yang halal melalui jalan yang halal amat penting dalam kehidupannya dan keluarga.
Ayat pengharaman mencuri jelas ditegaskan dalam Al-Qur’an.

Allah swt berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 38 yang bermaksud:
Pencuri lelaki dan pencuri perempuan hendaklah kamu potong tangannya sebagai balasan pekerjaannya…

Lahab terdiam dengan balasan yang diterima daripada rakannya itu. Dia insaf dan terfikir akan apa yang dikatakan Ahmad itu benar. Lahab tahu perbuatan mencuri itu adalah salah satu perbuatan dosa. Cuma kekadang syaitan  membisikkan godaan padanya agar melalkukan perbuatan terkutuk itu. Ucapan tahmid keluar dari mulutnya, dia bersyukur kerana Allah memberikan dia kesempatan agar tidak melakukan dosa.

“Aku beruntung ada rakan seperti kamu. Mengingatkan aku andai terleka.”Bisik hati kecilnya.

Benarlah kata Nabj saw dalam hadis Baginda yang bermaksud:
Bersahabat dengan orang yang soleh dan orang yang jahat umpama bersahabat dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi sama ada ia memberi kamu sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya kamu mendapat juga baunya.Manakal tukang besi pula sama ada ia menyebabkan baju kamu terbakar atau kamu mendapat bau yang hapak.”
(Riwayat Abu Daud)

Selepas kejadian itu Lahab bersama-sama dengan raakannya Ahmad gigih mencari rezeki yang halal buat mereka dan keluarga.


Anak-anak

Abbasy sedang khusyuk membaca buku  Cara Cepat untuk Menghafaz Al-Qur’an karangan  Wiwi Alawiyah Wahid. Dia duduk di bawah pokok jambu di depan rumah kecil itu setelah selesai mentelaah pelajaran pada petang itu. Baju t-shirt warna hitam lusuh dikenakan dengan seluar track yang telah agak lama. Walaupun mereka tidak kaya harta di dunia namun  ilmu dan kefahaman agama serta hafaz Qur’an didikan ibubapanya membuatkan mereka kaya di sisi Allah. In syaa Allah.

Di beranda rumah itu kelihatan Adawiyah yang begitu asyik membuat latihan Matematik PMR. Dia juga bercita-cita untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) yang bakal didudukinya tahun itu seperti abangnya.  Aathif telah menjadi pelajar cemerlang  PMR di sekolahnya apabila berjaya mendapat keputusan straight A dalam peperiksaan itu.
Aathif juga begitu tekun megulangkaji pelajaran bersama adik-adiknya yang lain. Beranda rumah itulah menjadi tempat yang selesa buat mereka mengulangkaji pelajaran selepas sekolah. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa membuatkan suasana petang itu terasa indah.

Ahmad selalu berpesan kepada anak-anaknya.
Muhammad bin Sirrin dan Anas bin Malik berkata:
Ilmu adalah agama…”

Pesanan dan nasihat berhikmah daripada seorang bapa dan didikan daripada seorang ibu membuatkan mereka gigih dan cekal menuntut ilmu walaupun dalam serba kekurangan.

Khadijah yang dari tadi memerhatikan anak-anaknya yang begitu gigih menuntut ilmu, memanjatkan syukur kepada Allah atas segala pemberiaanNya buat dia dan suami. Sejak di usia muda lagi Khadijah selalu berdoa agar dikurniakan suami soleh dan anak-anak yang soleh serta solehah.Alhamdulillah dia memperolehnya.

Memang benarlah pepatah Arab yang bermaksud:
Doa itu senjata umat Islam.”


Hasilnya

Alhamdulillah. Kelima-lima anak mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading dan telah menjadi insane yang berguna buat agama, masyarakat, bangsa dan negara .
Dr. Aathif Al-Hafiz begitu khusyuk bercerita dengan bapanya di beranda sebuah rumah banglo mewah berwarna hijau hitam. Kedengaran suara Tofthina, anak sulungnya sedang leka bermain dengan Amar, anak sulung Adawiyah. Adawiyah dan suami turut bercerita bersama-sama dengan bapanya di beranda rumah.

“Ibu, jomlah makan kuih ni.”, Suara Siti ‘Aisyah lembut. Seorang perempuan berjubah dark green dikenakan dengan tudung bidang berbunga hijau muda, menyapa ibu mentuanya. Khadijah tersedar dari lamunannya. Siti ‘Aisyah, isteri kepada Aathif berdiri di sisinya sambil tersenyum. Senyuman itu dibalasnya dengan senyuman. Cuti hujung minggu kali itu anak-anaknya menghabiskan masa di kampung halaman mereka.

Khadijah bersyukur atas kurnian dan nikmat yang diberi oleh Allah swt buat dia dan keluarga.
Berkat kesabaran dan kesungguhan dia dan suami dalam menggapai redha Allah akhirnya membuahkan hasil.


Rujukan:
1)Riwayat Bidadari Syurga, Munif Ahmad.
2)Cara Cepat Untuk Menghafaz Al-Qur’an, Wiwi Alawiyah Wahid.



Sekian sahaja cerpen nukilan,
Nurshalilah Fauzan Mailin.

Semoga bermanfaat buat kita semua ^_^
Terima kasih kerana sudi baca.

#SemogaAllahRedha#




Tuesday, July 16, 2013

Engkau Insan Istimewa

Jam menunjukkan pukul 10:17 am.

Kelas Biologi pada hari itu habis awal daripada biasa kerana guru-guru perlu menghadiri mesyuarat penting selepas itu.

Thank you teacher.”, petah lidah Saiful Zimar, ketua kelas itu, memimpin para pelajar.

Alunan ayat suci al-Qur’an sangat menenangkan jiwa yang gersang. Surah yang sentiasa mengingatkan kita tentang masa, menjadi rutin para pelajar di SMK (A) Taman Setia membacanya selepas habis sesi pembelajaran.

“Demi Masa.”
(Al-‘Asr:1)

Allah telah bersumpah dengan masa dalam ayat itu dan ia menunjukkan betapa pentingnya masa dalam kehidupan ini, ia perlu digunakan dengan sebaik mungkin.

Sahara Nurhayati tekun membaca semula apa yang diajar oleh Miss Nisa’ sebentar tadi.
Baginya Biologi bukanlah satu subjek yang mudah dan dia perlu memahaminya sebelum habis sesi persekolahan.

“Sahara, jom!!!”, ajak Khadimatul Akmal, sahabat baiknya sejak dari sekolah rendah lagi. Senyuman manis dari sahabatnya itu tidak berbalas kerana khusyuk membaca.
“Jap2, sikit lagi.”, yang mampu dibalasnya ringkas sambil tersenyum kambing.

“Ok siap, jom Akmal.”, balasnya selepas itu. Akmal yang dari tadi menunggu, menolak kerusinya ke dalam meja.
“Mmmm.”, balasnya seolah-olah merajuk.
“Maaf.” Sahara memujuk sahabatnya sambil senyum hingga menampakkan gigi sedikit.
Akmal membalasnya dengan senyuman sambil berkata,”He.Akmal saje je tu.”
Begitulah gelagat dua orang sahabat karib itu, apabila seorang merajuk, seorang meminta maaf. Itu yang membuatkan ukhwah  dua sahabat itu tidak pernah luntur.

Nasi lemak kak Siti yang dibeli oleh mereka di kantin menjadi juadah pada pagi itu.
Pondok yang tertulis ‘Asy-Syafie’, terletak di tepi bukit itu sangat sesuai untuk bersantai pada waktu itu.
Angin yang bertiup menceriakan lagi suasananya.

“Tak lama lagi nak SPM kan?”, soal Akmal kepada sahabatnya memecahkan kesunyian.
Hanya anggukkan saja yang mampu Sahara beri kerana nasi lemak yang dikunyahnya belum habis ditelan.

SPM just around the corner adalah ayat kegemaran yang keluar dari mulut guru-guru yang masuk di kelas mereka, ia menambahkan lagi semangat mereka untuk terus berjuang menghadapi peperiksaan penting itu.

Setelah habis makan mereka bercadang untuk  berjumpa Cikgu Saiful untuk menanyakan soalan Addmath yang tidak mampu diselesaikan sendiri.

Pada hari itu sesi  pembelajaran habis seperti biasa.


Keesokkan harinya

Kelas ustaz ‘Aziz pada pagi itu berlangsung seperti biasa, Koleksi SPM 2006-2010 menjadi  fathahul ‘aqli  untuk kelas Bahasa Arab.

Masa berlalu begitu pantas, tanpa disedari kelas Arab pada pagi itu telah tamat.

Setelah ustaz melangkah keluar dari kelas, Sahara turut keluar ke Pejabat Pentadbiran, untuk bertemu  Penolong Kanan HEM, Ustazah Rosnina. Sahara bukan sahaja cemerlang dalam pelajarannya malahan dalam ko-kurikulum juga. Buktinya, dengan kesibukan menghadapi tahun peperiksaan besarnya, dia juga memegang amanah sebagai ketua pelajar perempuan di sekolah itu.

Dalam perjalanan menuju ke Pejabat Pentadbiran, dari jauh kelihatan sosok tubuh yang sangat dikenalinya. Baju kurung dan tudung labuh yang dikenakan itu, memang tidak syak lagi.

“Kak Suhaibah!”, jerit hatinya girang.
“Lepas jumpa ustazah Nina, aku nak jumpa kak Suhaibah.”tegasnya di dalam hati lagi.



Bertemu Kak Suhaibah

Nursuhaibah Fatonah Muhammad, satu nama yang sangat masyhur di sekolah itu. Beliau merupakan pelajar cemerlang di sekolah itu tahun 2010, dengan keputusan 10A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Peribadi dan akhlaknya yang unggul telah terbukti dengan penerimaan Anugerah Tokoh Pelajar pada tahun itu juga.

“Akak Suhaibah!!!,” Teriaknya girang. Salam dan senyuman diberi  oleh Kak Suhaibah. Terpancar kegembiraan dan keriangan di wajah Sahara.

Sahara mengambil peluang itu untuk bertanya meminta pendapat untuk menyelesaikan permasaalahannya dalam pelajaran.

Masa tidak mengizinkan untuk mereka bercerita panjang.
“Nanti klau ada apa-apa nak tanya, mesej or call je akak ye,” pesan kak Suhaibah kepadanya sebelum berpisah.
Ucapan salam pengakhir pertemuan singkat itu.

“Hu.Aku nak jadi peguam macam kak Suhaibah. Nak dapat keputusan macam tu juga, Ya Allah, bantu hamba-Mu ini.” Pinta hatinya.
Pemergian idolanya (Selepas Baginda saw dan ibu bapa) itu terus diperhatikannya sehingga bayang-bayang proton New Saga Hitam yang dipandunya itu hilang dari pandangan.
Kedatangan pelajar Undang-Undang itu cukup membuatkan Sahara bersemangat untuk jadi sepertinya.



Saat yang ditunggu hampir tiba

Tanpa disedari Peperiksaan SPM semakin hampir. Pelajar tingkatan lima begitu giat mengulangkaji pelajaran. Waktu prep digunakan sebaik mungkin. Kelebihan hidup sebagai pelajar asrama, waktu untuk mengulangkaji pelajaran telah ditetapkan dan ia membuatkan hidup pelajar di situ lebih sistematik.

“Barangsiapa mengenal Tuhannya dia akan mengenal dirinya sendiri,” kata-kata pengetua sekolah sangat member kesan yang besar dalam diri para pelajar itu.

Ia bermaksud walaupun para pelajar itu sibuk mempersiapakan diri dengan keperluan duniawi untuk menghadapi peperiksaan, urusan denga Allah swt tidak boleh dilupakan, ia perlu seiring.

Solat sunat hajat selepas solat Maghrib menjadi rutin para pelajar di situ. Begitu juga dengan bacaan Yassin yang sentiasa di amalkan selepas solat Isyak.

Sahara turut tidak ketinggalan membuat persiapan menghadapi peperiksaan SPM. Segala pesanan dan tips daripada kak Suhaibah dijadikan bekalan disamping usaha dan tawakkal kepada Allah swt.

Peperiksaan SPM tiba,pelajar  tingkatan lima sekolah itu menempuhi peperiksaan itu dengan bekalan ilmu dan doa daripada ibubapa dan guru.

Semangat berkobar-kobar umpama ingin berjihad di medan perang membakar jiwa mereka. Setiap langkah dan gerak didahului dengan tahmid dan basmallah.

Para pelajar masuk ke dewan peperiksaan. Di luar dewan itu kelihatan pengetua sekolah sedang khusyuk memerhatikan para pelajar di dalam dewan. Dari raut wajahnya kelihatan seribu harapan dan keyakinan kepada para pelajar tingkatan lima. Doa dan harapan dapat dikirimkan olehnya buat para pelajar itu.

Alhamdulillah peperiksaan berjalan dengan lancarnya. Setelah sebulan berada di sekolah untuk menghadapi peperiksaan, akhirnya tiba dipenghujungnya.

Doa dan tawakkal menjadi bekalan mereka pada ketika itu.


3 Bulan Kemudian

Keputusan peperiksaan SPM telah diumumkan. Alhamdulillah dengan izinNya, SMK (A) Taman Setia  sekali lagi Berjaya menjadi sekolah cemerlang bagi peringkat negeri itu.

Sahara turut mendapat keputusan yang cemerlang.
Dia nekad untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang sivil.
Semua permohonan yang diisinya,jurusan Undang-Undang Sivil menjadi pilihan.

Namun begitu, ibubapanya, lebih prefer sekiranya dia melanjutkan pelajaran dalam bidang agama seperti Usuluddin, Syariah, Dakwah atau lain-lain lagi.

Bagi menjaga perasaan kedua ibubapanya, ia meletakkan Islamic Revealed Knowledge (Bidang Ilmu Wahyu) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sebagai pilihan kedua dalam borang permohonan UPU.
Dia juga mengisi permohonan untuk menyambung pelajaran dalam bidang Syariah Islamiah di Jordan dan Usuluddin di Universiti Madinah.

Doa dan tawakkal menjadi bekalan, namun jauh disudut hatinya terselit sejuta harapan agar dia dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang Undang-Undang Sivil.



Keputusan Permohonan Keluar

Akhirnya saat yang dinanti-nanti telah tiba, pada hari itu keputusan permohanan untuk menyambung ke peringkat selepas SPM  akan diumumkan.
Sahara tidak sabar mengetahui jawapan permohonannya.

Titt… Bunyi pesanan ringkas telefonnya berbunyi.

[Assalammualaikum wbt Sahara ^^
Alhamdulillah Akmal dapat sambung perubatan dekat India. Saharah dapat kat mana?]
Sender:
Khadimatul Akmal.

Sahara gembira dengan kejayaan sahabat karibnya itu.

[Waalaikummusalam wbt Akmal, wah!!! Alhamdulillah. Congratz dear. Sahara x cek lagi baru nak cek,line tak ok sekarang.hu. Nanti klau dah tahu Sahara bagitau ye. ^^]
Sender:
Me.

Balasnya ringkas.
Setelah hampir sejam mencuba untuk masuk ke portal pengajian tinggi itu, akhirnya dia berjaya. Tertera di komputernya,

Tahniah!
Sahara Nurhayati Abdul Rasyid
No. ic: 940917-01-5724

Anda Berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Yarmouk, Jordan dalam jurusan Syariah Islamiah.

Seolah-olah dia sedang  bermimpi ngeri.
Harapannya untuk menyambung pengajian dalam bidang undang-undang sivil hancur.
Dia merebahkan dirinya ke katil, kesedihannya itu membuatkan suasana pada hari itu sepatutnya gembira menjadi suram.

Ibu dan bapanya begitu gembira apabila mengetahui jawapan permohonan pada petang itu.
“Ummi dan abah bersyukur sangat sebab adik dapat sambung belajar dalam bidang Syariah.”, luah ibunya dengan nada gembira.
Dia hanya mampu tersenyum dihadapan mereka, namun dalam hatinya hanya Allah sahaja yang tahu betapa sedih yang ditanggungnya.

Pada malam itu selesai  menunaikan solat sunnat Qobliah Isyak dia menunaikan solat sunnat Taubat dan Istikharah, memohon petunjuk daripadaNya. Itulah yang dia lakukan pada hari yang berikutnya.
Semoga dia redha dengan ketentuan yang Allah beri kepadaNya.



Beberapa hari selepas itu

Seperti biasa pada petang Jumaat selepas Asar, Sahara akan menghadiri usrah. Pada petang itu Taman Tasik Setiawangsa menjadi tempat pilihan mereka untuk berusrah.
Akmal yang begitu khusyuk membaca buku tidak sedar akan kehadiran sahabatnya Sahara. Buku tulisan Mustafa Masyhur yang bertajuk Jalan Dakwah begitu mencuri hati sipembacanya.

“Assalammualaikum wbt Akmal.” Ucapan diberi Sahara kepada sahabatnya itu.
“Eh, Waalaikummusalam wbt. Sejak bila sampai?”, balas Akmal yang agak terkejut sedikit.
“Lama dah, Cuma Akmal tu yang khusyuk sangat baca buku.”, balasnya.
Mereka berbual-bual sebentar sementara menunggu yang lain datang.

Bulatan gembira itu bermula. Sepotong hadis dibaca oleh kak Zunnur ‘Ain, akak naqibah mereka,

من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين
“Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan padanya, Allah akan faqihkan ia dalam agama.”
(HR Bukhari dan Muslim).

Kefaqihan adalah pemahaman yang Allah berikan kepada seorang hamba. Pemahaman yang lurus terhadap Al Qur’an dan hadits berasal dari kebeningan hati dan aqidah yang shahih. Antara contoh Allah berikan kita kefahaman dalam agama adalah Allah berikan kita peluang untuk mendalami ilmu agama... Kefahaman agama itu juga mampu kita miliki dengan mengikuti majlis-majlis ilmu, join usrah, bersahabat dengan orang-orang soleh dan banyak lagi caranya. Insan yang diberi kefahaman agama itu adalah insan yang istimewa …Kita perlu menghargainya kerana itu adalah salah satu nikmat daripada Allah…”
Kata-kata itu membuatkan Sahara tersentap.
Faqih fid din , kefahaman dalam agama.”Hatinya berbicara sendiri.

 Istikharahnya mendapat jawapan. Perasaanya begitu sebak dan hiba, hidayah yang Allah beri kepadanya hampir-hampir dia lepaskan kerana terlampau mengikut hawa nafsu.Dia insaf. Kalimah tahmid yang mampu diucapnya kerana masih diberi peluang olehNya.

Selepas itu dia nekad untuk menyambungkan pengajiannya di Jordan dan terus mendalami ilmu agama.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang membawa maksud:
“Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan padanya, Allah akan faqihkan ia dalam agama.”
Menjadi sumber inspirasinya (Selepas Allah, Rasul dan keluarganya).

Begitulah hikmah yang Allah beri atas apa yang berlaku.

Seperti yang dikatakan oleh Allah dalam Al-Qur’an:
عَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ
“Boleh jadi, kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah yang paling mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”
(Al-Baqarah:216)

Semoga apa yang dikongsikan bermanfaat buat kita semua.

Sekian, Cerpen nukilan:
Nurshalilah Fauzan Mailin

#SemogaAllahRedha#









Friday, July 12, 2013

Aku Cinta Bahasa Arab

17/9/2012

Dari kejauhan kelihatan sosok tubuh yang amat ku kenali, Ustazah Siti Salwa Na'ilah baru sahaja keluar dari kereta Pesona Grey. Senyuman manis dari ustazah menghiburkan aku. Seorang ustazah muda yang banyak membantu ku, membuatkan ku cinta kepada satu bahasa yang sangat asing buat ku.
Aku teringat pertama kali ustazah Salwa melapor diri di sekolah ku.


17/10/2011

Dringggggg!!!

Lonceng berbunyi menandakan waktu rehat telah bermula.
Pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Teratai berebut-rebut membeli makanan.

"Dush."

Buku nota kecil ku terjatuh ke rumput, tubuh Akmal yang besar melanggar bahu ku.

" Ish, tak da  mata ka !," Bentak ku.

Hanya senyuman maaf dihiasi dua batang gigi diberikan kepada ku..
Lantas ku capai buku nota berwarna hijau hitam itu.

Kejadian itu seumpama hilang dari ingatan ku apabila terdengar sapaan lembut daripada seseorang.

"Assalammualaikum wbt..."

Seorang perempuan dengan wajah yang dihiasi senyuman manis berdiri dihadapan ku.
Seorang yang berkulit cerah,Jubah dark purple dikenakan dengan tudung bidang 60 berwarna ungu muda sangat padan dengannya.
Keramahan bicaranya menambahkan lagi keayuannya.

"Waalaikummusalam wbt." Balas ku.
"Maaf, dik, bilik guru kat mana?", tanyanya.
"Oh, mari saya tunjukkan." Balas ku dengan senyuman juga.
Ucapan terima kasih pengakhir pertemuan kami.


Keesokan harinya
Pagi-pagi lagi pelajar kelas 6 Syukur memecahkan keheningan pagi.

"Weh, korang ada jumpa  tak ustazah baru?" suara Marsha Natasha yang kuat itu membuatkan semua pelajar kelas itu mengalihkan perhatian kepadanya.
Jawapan mengiyakan persoalan itu dapat didengari.
"Mungkin perempuan yang semalan tu kot," bisik  hati ku.

Kelas itu tiba-tiba senyap.
Seorang ustazah muda berdiri dihadapan pintu.

"Kelas berdiri, Assalammualaikum ustazah." Suara Mazlee memimpin pelajar-pelajar lain di kelas itu.
Senyuman manis dan jawapan salam dihulurkan sebagai tanda perkenalan dari seorang ustazah muda.

"Assalammualaikum wbt, ismi Siti Salwa Na'ilah Muhammad wa ana min Kota Baru."
Ayat pertama yang keluar dari bibirnya.

Sesi ta'aruf dengan ustazah baru itu bermula. Para pelajar diminta memperkenalkan diri dalam Bahasa Arab.
"Ish, bahasa Arab pula.hu."
Bisik ku kepada Naimah Hatiqah, sahabat karibku.
Dia hanya tersenyum mendengar keluhan ku. Dia memang tahu yang aku ni lemah dalam subjek Bahasa Arab.

Giliran ku tiba,

"Assalammualaikum, ismi Mia Maisarah Binti Ahmad..."
Ucap ku tersekat-sekat.

Memberontak jiwa ku apabila perkara yang aku lemah aku terpaksa buat.
Kelas berlangsung seperti biasa. Sepanjang kelas itu hanya Bahasa Arab yang digunakan sebagai medium komunikasi.

Syarat Bahasa Arab sepenuhnya perlu digunakan semasa kelas bersama ustazah muda itu membuatkan pandangan pertama ku kepadanya meleset.


Seminggu kemudian

Peperiksaan akhir tahun semakin hampir, namun aku tetap begitu. Anggapakan ku bahawa Bahasa Arab itu tidak penting dan susah masih tetap di dalam hati.
Ustazah Salwa tahu masaalah yang dihadapi ku.

Ketika waktu rehat Ustazah Salwa ingin berjumpa dengan ku.
"Huh,matila aku,aku tak hafal fe'il lagi ni.hu."Hatiku berbicara sendiri.

Kelihatan seorang ustazah muda khusyuk membaca Qur'an dengan suara yang perlahan, di meja hujung bilik guru itu.
Ustazah Salwa sangat rajin membaca Qur'an, masa lapangnya akan diisi dengan bacaan ayat suci itu.
Kagum hati ku mengingatkan ketinggian akhlaknya.
Ustazah Salwa memberikan ku senyuman apabila aku dekat dengan mejanya. Qur'an berwarna hijau hitam ditutup dan disimpan rapi di rak buku di meja itu.

"Assalammualaikum ustazah", aku memulakan bicara.
Salam ku dijawap, sebuah kerusi guru dihulurkan kepada ku.
"Meh duduk sini." Sapaan ustazah Salwa itu, terpancar sifat seorang kakak penyayang dalam dirinya.
"Syukran Ustazah", perkataan Arab itu tiba-tiba muncul dari mulut ku.
"'Afwan. Maisarah...", tidak habis ayat terkeluar dari mulutnya.
Ustazah Salwa adalah satu-satunya manusia yang memanggil ku Maisarah selepas arwah ibu dahulu.

"Maaf, ustazah nak tanya, macam-mana pelajaran Bahasa Arab Maisarah?", Ustazah Salwa menyambung ayatnya.

Soalan Ustazah Salwa itu membuat ku terdiam,
Aku malu untuk mengatakan masaalah ku dengan subjek ini.
"Ustazah,maaf, saya tak minat subjek ni." Kata-kata itu terlepas dari mulut ku.

Keadaan senyap seketika.
Senyuman manis terpancar di wajah ustazah Salwa.

"O, in syaa Allah ustazah faham. Bahasa Arab bukan bahasa yang mudah untuk difahami, lebih-lebih lagi di usia kamu sekarang." kata-kata lembut daripada ustazah itu membuatkan ku menyesal atas kata-kata ku tadi.

"Maisarah, jika minat itu belum ada untuk subjek Bahasa Arab, in syaa Allah kita boleh pupuk."
Kata-kata lembut dan senyuman manis daripada ustazah itu sungguh kena dengan hati ku.
"Ustazah nak kongsi satu perkara..."


Aku khusyuk menanti sambungan ayat daripada ustazah Salwa.

"Maisarah tahu x, Bahasa Arab ni Bahasa Al-Qur'an, ayat-ayat suci Al-Qur'an ditulis dalam Bahasa Arab...", ucapnya lembut.

"Dengan memahami dan mempelajari Bahasa Arab, kita dapat mempelajari hadis-hadis Rasulullah saw dan kitab-kitab muktamar para ulama' zaman dahulu. Dan yang paling penting kita mampu memahami Al-Qur'an dengan lebih mendalam.", ujarnya lagi. Aku terus menanti setiap bait kata-kata yang keluar dari mulut ustazah Salwa, setiap yang keluar itu umpama permata yang amat berharga dan sangat kena dengan hati jahil ku ini.

"Selain tu, kita juga dapat memahami setiap bacaan dalam Solat, doa-doa, wirid dan zikir jika kita pandai dan tahu Bahasa Arab." sambungnya,

Kata-kata ustazah Salwa itu sangat menusuk kalbu biarpun hanya dengan penyampaian secara ringkas kepada ku. Aku dapat rasakan kasih seorang murabbi dari dalam dirinya buat ku.

Dengan nada seperti seorang kakak yang sedang memujuk adiknya yang sedang merajuk membuatkan jiwa aku semakin dekat dan cinta dengan Bahasa Arab.

Lonceng Sekolah Kebangsaan Teratai berbunyi dengan kuatnya, menandakan waktu rehat telah tamat.
Senyuman daripada ustazah muda itu membuat hati ku bertambah sebak.

Usapan lembut dibahu ku oleh tangan seorang yang sangat berjiwa penyayang itu membuatkan ku bertambah hiba.
Tanpa ku sedari air mata ku menitis ke pipi, ustazah memeluk ku.

"Maisarah, belajar Bahasa Arab sungguh-sungguh ya." Pujuk ustazah itu.

Aku hanya mampu mengangguk dan senyuman ku beri kepadanya, senyuman itu dibalas dengan senyuman ikhlas darinya.

Sebelum beredar, ku salam tangan ustazah. Pelukan erat daripadanya buat ku. Seolah-olah menyampaikan mesej yang sangat mendalam.

"Bahasa itu, Bahasa Syurga.", bisiknya kepada ku.

Umpama kalimah keramat keluar dari mulutnya, membuatkan aku lebih tekad untuk mempelajari Bahasa Arab dengan lebih mendalam.

Selepas kejadian itu, alhamdulillah  prestasi subjek Bahasa Arab ku semakin meningkat. Dengan izinnya aku mampu menyambung pelajaran ku ke sekolah aliran agama yang menjadikan Bahasa Arab sebagai medium utama. Aku berhasrat suatu masa nanti aku ingin memiliki PhD dalam Bidang Bahasa Arab. In syaa Allah.


Allah swt berfirman dalam Surah Yusuf ayat 2 yang bermaksud:

إِنَّآ أَنزَلْنَهُ قُرْءَانًا عَرَبِيًّا لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُون

"Sesungguhnya Kami turunkan ia (al-Qur'an) sebagai bacaan Berbahasa Arab agar kamu semua berfikir."

Allah swt menjadikan Al-Qur'an itu dalam Bahasa Arab agar kita mempelajari dan memahami bahasa itu.
Baginda saw juga menyeru agar kita mempelajari dan mencintai Bahasa Arab.

Dari Ali, Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud:

"Cintailah Bahasa Arab kerana 3 Perkara:
1) Kerana aku adalah Arab,
2) Bahasa Al-Qur'an adalah Arab dan
3) Bahasa ahli Syurga adalah Arab."

Sumber:
Kepentingan Mempelajari Bahasa Arab


Sekian, cerpen nukilan:
Nurshalilah Fauzan Mailin.

Syukran jazilan
Semoga bermanfaat buat semua.


#SemogaAllahRedha#