Wednesday, July 24, 2013

Halal Yang Dicari

Pondok di Hujung Kampung

Di waktu pagi yang hening kedengaran alunan merdu bacaan Al-Qur’an seorang ibu muda yang begitu khusyuk membaca kalamullah. Bacaan itu datang dari sebuah pondok kecil di hujung kampung.
Bacaan diteruskan sehingga ayat yang terakhir surah Maryam.

Alhamdulillah.” Lafaz agung yang keluar dari mulut Khadijah, sambil mengusap lembut perutnya yang sudah berusia 37 minggu.

“Semoga menjadi anak yang soleh anak ku.” Bisik hatinya lagi.

Selepas Subuh lagi suaminya, Ahmad, telah keluar ke laut untuk mencari rezeki. Allah menguji dia dan suami dengan kesusahan. Namun, tidak sedikit pun ayat rungutan yang keluar dari mulut pasangan suami isteri itu.

“Allah sayangkan kita, itu sebabnya Allah uji dengan kesusahan.” Ayat yang sering diucapkan oleh Ahmad sebagai pemotivasi buat dirinya dan isteri tercinta.

Setelah itu Khadijah bangun dari sejadahnya.Sejadah hijau hitam milik dia dan suami dilipatnya. Senaskah Al-Qur’an berwarna hijau muda diletakkannya di atas almari usang di hujung bilik. Al-Qur’an itu amat bermakna buatnya. Bukti cinta suci kerana Allah, Ahamd menikahnya bermaharkan Al-Qur’an itu.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang saling mencintai, kamar-kamarnya di Syurga nanti terlihat seperti bintang yang muncul dari Timur atau dari Barat yang berpijar.' Lalu ada yang bertanya,' Siapakah mereka itu?' Baginda menjawab,'Mereka itu adalah orang-orang yang mencintai kerana Allah."
(Riwayat Ahmad)

Begitu hebatnya mencintai kerana Allah swt. Khadijah tersenyum mengingatkan hadis yang sering dibacanya buat suami tercinta.

Pagi itu Khadijah mengemas rumah seperti biasa. Menjalankan tugas sebagai suri rumah sepenuh masa. Baginya Ahmad telah berhempas-pulas mencari rezeki untuknya, maka tugas mengemas rumah itu pula bagiaannya.

Lantai rumah yang dibuat dari papan disapu dengan rapi. Setiap langkahnya diisinya dengan zikirullah.

“Setiap wanita yang menyapu lantai sambil berzikir pahalanya sama seperti menyapu lantai di Baitullah.” Potongan ayat dari Buku Riwayat Bidadari Syurga, karangan Munif Ahmad sering terngiang dalam ingatannya.

Tugasnya di rumah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Namun, ia juga tidak lupa untuk sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan suaminya yang keluar mencari rezeki untuknya.


Di Laut

Sesekali, Ahmad teringat akan isterinya di rumah. Kandungan Khadijah yang telah mencecah 8 bulan lebih membuatkan suaminya risau jika apa-apa yang berlaku keatas isterinya. Doa dan tawakal kepada Allah dijadikan penawar kebimbangannya.

Allah swt berfirman yang bermaksud:
Barang siapa yang berserah diri (tawakal) kepada Allah, nescaya Dia akan memenuhi keperluannya.”
(At-Thalaq:3)

Ayat ini sering menjadi pegangngannya.
Seperti hari-hari yang lain, Ahmad akan berada di laut dari pagi hingga ke petang. Dia begitu bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal untuk menyara diri dan isteri tercinta serta anak yang bakal dilahirkan itu.


Beberapa Tahun Kemudian

Khadijah dan Ahmad telah mendapat lima orang anak. Semuanya dididik dengan penuh tanggungjawab. Ilmu agama adalah perkara penting yang disemai dalam diri anak-anak mereka sejak dari kecil lagi.
Jam berwarna hitam di dinding rumah itu menunjukkan pukul 17:10.

“Ummi, adik nak main dekat luar, boleh?”, Tanya Fatimah, anak bongsunya yang berusia 5 tahun, sambil tersenyum manja kepada ibunya. Wajah anak kecil yang mirip ayahnya itu membuatkan tidak jemu mata memandang. Comel.

“Boleh, tapi sebelum Maghrib Fatimah kena naik dah tau, mandi. Boleh?.” Balas Khadijah sambil tersenyum.

“Ok Ummi!!!Terima Kasih Ummi. Saaaaaaayang Ummi!.” Balas si kecil dengan nada yang girang.

Talhah anak keempatnya yang berusia 7 tahun turut menemani Fatimah bermain di luar.

Aathif  begitu khusyuk membaca buku di beranda rumah. Buku Biologi Tingkatan 5 menjadi habuannya pada hari itu. Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah semakin hampir, mendapat keputusan yang cemerlang menjadi azamnya. Menjadi seorang doktor lulusan Universiti Al-Azhar yang  dicita-citakannya. Sebagai abang sulung, dia bertanggungjawab menjadi contoh kepada adik-adiknya.

Berimamkan Aathif, mereka menunaikan solat Maghrib secara berjema’ah. Bagi Ahmad, membiasakan anak lelakinya menjadi imam di rumah adalah salah satu pendidikan informal  buat anak-anak. Setelah usai solat, Khadijah memainkan peranan sebagai murabbi di rumah. Dia turut dibantu oleh suaminya. Walaupun Ahmad begitu sibuk mencari rezeki di siang hari, dia tidak mengabaikan tanggungjawabnya membantu isteri mendidik anak-anak di rumah. Begitu hebat peribadinya sebagai seorang suami dan ayah.
Khadijah begitu tekun mengajar Fatimah membaca Iqra’. Iqra’ 6 dibaca Fatimah dengan begitu lancar. Sementara menunggu turn ditasmik oleh ibunya, Adawiyah mengisi masa membantu mengajar adiknya Talhah membaca Al-Qur’an. Surah Ali-Imran dibaca dengan lancar. Diusia seawal 12 tahun lagi Adawiyah telah mula menghafaz Al-Qur’an, begitu juga dengan abangnya Aathif dan adiknya Abbasy. Abbasy baru sahaja mula menghafaz Al-Qur’an, perhatian yang lebih diberi oleh Ahmad kepadanya agar permulaan yang baik buatnya dalam arena itu.Ahmad dan Khadijah begitu menitik beratkan soal ilmu Al-Qur’an kepada anak-anak mereka.  Sejak dari pandai bercakap lagi, pasangan itu telah mengajar anak-anak mereka  untuk membaca alif ba ta. Maka tidak hairanlah anak-anak mereka begitu fasih membaca Al-Qur’an di seawal usia 5 tahun.

Nabi saw bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya, Allah itu mempunyai keluarga daripada manusia. Ada yan bertanya, ‘siapa mereka itu wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab,’ Ahli al-Qur’an itulah keluarga Allah dan orang-orang khususnya.
(Riwayat Imam Ahmad)

Dalam sebuah hadis juga Baginda saw bersabda, mafhumnya:
Orang-orang yang mulia daripada umatku ialah para penghafaz al-Qur’an dan ahli solat malam. Dan ibadah ummatku yang paling utama ialah membaca al-Qur’an.”

Dalil-dalil hadis itu menunjukan betapa pentingnya ilmu al-Qur’an dalam kehidupan manusia.

Malam itu berlalu dengan indahnya. Sebuah keluarga yang menjadikan Al-Qur’an sebagai asas penting dalam kehidupan begitu tekun menghafaz dan mempelajari Kalamullah.


Diuji

Pada pagi itu Ahmad keluar ke laut seperti selalu. Permulaan harinya dimulai dengan niat untuk mencari rezeki yang halal buat keluarganya bagi mencapai Mardhatillah.

Lahab yang dari tadi memerhati kehadiran Ahmad itu terus menyapanya yang begitu tangkas naik keatas bot berwarna hijau hitam itu.

“Ahmad!!!.” Teriak Lahab. Ahmad membalasnya dengan senyuman.

Hari itu mereka merancang untuk menangkap ikan jauh dari kawasan biasa. Laut Cina Selatan direntasi dengan doa kepada Allah agar mereka diberi pelindungan dari sebarang yang tidak diingini.

Alhamdulillah.” Lafaz tahmid Ahmad ucapkan. Mereka telah sampai di tempat yang dituju. Luas terbentang lautan biru dihadapan mereka. Seperti tiada penghujungnya. Sungguh indah alam ciptaan Allah. Mereka kagum melihatnya.

Ahmad memulakan kerjanya. Pukat yang dibawa dipasang dengan rapi, sambil berdoa kepada Allah agar dia mendapat rezeki lebih dan halal pada hari itu.

Tidak dinafikan pendapatannya sebagai seorang nelayan amat sukar untuk membelanjai persekolahan 5 orang anak-anaknya itu. Namun, berbekalkan keyakinan dan doa kepada Allah, dia tidak berputus asa dengan rahmat Allah. Sumber yang halal bagi keluarganya sangat  dititikberatkannya.
Lahab yang dari tadi memerhatikan Ahmad menangkap ikan, menegurnya.

“Mad, kau tak rasa susah ke? Dengan pendapatan sedikit ni kau kena belanja anak-anak kau sekolah. Kau tak nak cari pendapatan lebih?”.

Alhamdulillah. Aku bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan pada saya ini.” Balasnya sambil tersenyum. Pukat it uterus dipasangnya.

“Sumber lain?Maksud kau?.”, Balas Ahmad lagi.

“Aku nak bawa kau kat satu tempat ni. Banyak ikan.” Lahab memberitahunya.

“Dekat mana? Setahu aku ni lah tempat yang banyak ikan. Tengok tu, besar-besar ikannya.”, katanya sambil menunjukkan bayangan ikan besar di permukaan air.

“Kau tahu kawasan dekat hujung tempat yang kita selalu tangkap ikan itu? Kolam Pak Haji Dollah.” Lahab rancak menerangkan Ahmad tentang kolam ikan milik Hj. Dollah. Kolam itu mempunyai banyak ikan, pekerja Hj. Dollah yang ditugaskan untuk menjaga dan memasarkan ikan-ikan di situ.
Lahab bercadang untuk mengajak Ahmad mengambil ikan di kolam itu secara illegal.

“Kita ambil time malam, tak da sapa yang tahu.”Tambahnya lagi.

Astaghfirullah Hab. Itu namanya mencuri. Kita ni nak bagi makan anak bini dekat rumah. Tak kan nak bagi sumber yang haram dekat mereka. Benda tu akan bagi kesan jangka panjang kepada anak cucu kita nanti. Hidup tak berkat sekiranya terselit sumber yang tidak halal dalam kehidupan kita. Tegahan mencuri juga sudah cukup jelas di dalam Al-Qur’an. Saya rela mendapat rezeki yang sedikit tetapi dari sumber yang halal daripada mendapat harta yang banyak dari sumber yang haram.” Balas Ahmad tegas. Bagi Ahmad mencari rezeki yang halal melalui jalan yang halal amat penting dalam kehidupannya dan keluarga.
Ayat pengharaman mencuri jelas ditegaskan dalam Al-Qur’an.

Allah swt berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 38 yang bermaksud:
Pencuri lelaki dan pencuri perempuan hendaklah kamu potong tangannya sebagai balasan pekerjaannya…

Lahab terdiam dengan balasan yang diterima daripada rakannya itu. Dia insaf dan terfikir akan apa yang dikatakan Ahmad itu benar. Lahab tahu perbuatan mencuri itu adalah salah satu perbuatan dosa. Cuma kekadang syaitan  membisikkan godaan padanya agar melalkukan perbuatan terkutuk itu. Ucapan tahmid keluar dari mulutnya, dia bersyukur kerana Allah memberikan dia kesempatan agar tidak melakukan dosa.

“Aku beruntung ada rakan seperti kamu. Mengingatkan aku andai terleka.”Bisik hati kecilnya.

Benarlah kata Nabj saw dalam hadis Baginda yang bermaksud:
Bersahabat dengan orang yang soleh dan orang yang jahat umpama bersahabat dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi sama ada ia memberi kamu sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya kamu mendapat juga baunya.Manakal tukang besi pula sama ada ia menyebabkan baju kamu terbakar atau kamu mendapat bau yang hapak.”
(Riwayat Abu Daud)

Selepas kejadian itu Lahab bersama-sama dengan raakannya Ahmad gigih mencari rezeki yang halal buat mereka dan keluarga.


Anak-anak

Abbasy sedang khusyuk membaca buku  Cara Cepat untuk Menghafaz Al-Qur’an karangan  Wiwi Alawiyah Wahid. Dia duduk di bawah pokok jambu di depan rumah kecil itu setelah selesai mentelaah pelajaran pada petang itu. Baju t-shirt warna hitam lusuh dikenakan dengan seluar track yang telah agak lama. Walaupun mereka tidak kaya harta di dunia namun  ilmu dan kefahaman agama serta hafaz Qur’an didikan ibubapanya membuatkan mereka kaya di sisi Allah. In syaa Allah.

Di beranda rumah itu kelihatan Adawiyah yang begitu asyik membuat latihan Matematik PMR. Dia juga bercita-cita untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) yang bakal didudukinya tahun itu seperti abangnya.  Aathif telah menjadi pelajar cemerlang  PMR di sekolahnya apabila berjaya mendapat keputusan straight A dalam peperiksaan itu.
Aathif juga begitu tekun megulangkaji pelajaran bersama adik-adiknya yang lain. Beranda rumah itulah menjadi tempat yang selesa buat mereka mengulangkaji pelajaran selepas sekolah. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa membuatkan suasana petang itu terasa indah.

Ahmad selalu berpesan kepada anak-anaknya.
Muhammad bin Sirrin dan Anas bin Malik berkata:
Ilmu adalah agama…”

Pesanan dan nasihat berhikmah daripada seorang bapa dan didikan daripada seorang ibu membuatkan mereka gigih dan cekal menuntut ilmu walaupun dalam serba kekurangan.

Khadijah yang dari tadi memerhatikan anak-anaknya yang begitu gigih menuntut ilmu, memanjatkan syukur kepada Allah atas segala pemberiaanNya buat dia dan suami. Sejak di usia muda lagi Khadijah selalu berdoa agar dikurniakan suami soleh dan anak-anak yang soleh serta solehah.Alhamdulillah dia memperolehnya.

Memang benarlah pepatah Arab yang bermaksud:
Doa itu senjata umat Islam.”


Hasilnya

Alhamdulillah. Kelima-lima anak mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading dan telah menjadi insane yang berguna buat agama, masyarakat, bangsa dan negara .
Dr. Aathif Al-Hafiz begitu khusyuk bercerita dengan bapanya di beranda sebuah rumah banglo mewah berwarna hijau hitam. Kedengaran suara Tofthina, anak sulungnya sedang leka bermain dengan Amar, anak sulung Adawiyah. Adawiyah dan suami turut bercerita bersama-sama dengan bapanya di beranda rumah.

“Ibu, jomlah makan kuih ni.”, Suara Siti ‘Aisyah lembut. Seorang perempuan berjubah dark green dikenakan dengan tudung bidang berbunga hijau muda, menyapa ibu mentuanya. Khadijah tersedar dari lamunannya. Siti ‘Aisyah, isteri kepada Aathif berdiri di sisinya sambil tersenyum. Senyuman itu dibalasnya dengan senyuman. Cuti hujung minggu kali itu anak-anaknya menghabiskan masa di kampung halaman mereka.

Khadijah bersyukur atas kurnian dan nikmat yang diberi oleh Allah swt buat dia dan keluarga.
Berkat kesabaran dan kesungguhan dia dan suami dalam menggapai redha Allah akhirnya membuahkan hasil.


Rujukan:
1)Riwayat Bidadari Syurga, Munif Ahmad.
2)Cara Cepat Untuk Menghafaz Al-Qur’an, Wiwi Alawiyah Wahid.



Sekian sahaja cerpen nukilan,
Nurshalilah Fauzan Mailin.

Semoga bermanfaat buat kita semua ^_^
Terima kasih kerana sudi baca.

#SemogaAllahRedha#




No comments:

Post a Comment